Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
173 pesara diraikan
02/05/2024

mjpm_0205241.jpg

Seramai 173 pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah bersara bagi tahun 2022 diraikan pada Majlis Penyampaian Sijil Persaraan di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash-Shaliheen, Awang Haji Md. Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, diikuti dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai.

Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin, selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan penghargaannya pada majlis tersebut menyatakan, persaraan bukanlah titik noktah bagi para pesara untuk terus menaburkan bakti kepada bangsa dan negara.

“Dengan berbekalkan kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang diperoleh semasa berkhidmat dengan kerajaan dalam perkhidmatan awam, peramba / saya berharap dan penuh percaya 'abiskita' akan terus aktif memberikan sumbangan berharga kepada masyarakat melalui pelbagai platform antaranya dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepada golongan-golongan tertentu seperti para belia; menjadi sukarelawan dalam mana-mana program peringkat akar umbi dan seumpamanya, dalam terus mendukung dasar dan strategi Kerajaan yang menyumbang kepada merealisasikan Wawasan Brunei 2035," jelasnya.

Dalam menjalani alam persaraan ujar Awang Ajman, sebagai pesara 'abiskita' masih saja terikat dengan undang-undang serta peraturan negara.

Untuk itu, tambahnya, adalah penting untuk sentiasa menjaga nilai-nilai integriti, disiplin dan tanggungjawab yang diamalkan semasa berkhidmat, demi menjaga reputasi sebagai bekas penjawat awam. Teruskanlah menjadi contoh teladan yang baik dan terus berusaha untuk memberikan manfaat kepada orang sekeliling.

“Majlis pada pagi ini adalah sebagai satu tanda pengiktirafan dan ingatan baik kita semua terhadap sumbangan dan jasa bakti 'abiskita' kepada perkembangan dan kemajuan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya," jelasnya.

Tambah Awang Ajman lagi, sumbangan para pesara bukan sahaja memberikan kesan kepada individu, malahan turut menyumbang kepada membentuk struktur masyarakat kita.

Penyampaian sijil dan cenderahati kepada pesara-pesara disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II.

Antara lain, majlis diadakan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang telah menabur bakti dengan memberikan masa, tenaga dan perkhidmatan selama menjalankan tugas dalam Perkhidmatan Awam, khususnya di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya. Segala sumbangan, jasa dan pengorbanan yang telah diberikan adalah tidak ternilai dan akan sentiasa dikenang.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​